Memandu kereta dengan kotak gear manual memang memberikan pengalaman yang berbeza berbanding kotak gear automatik. Ia boleh dikatakan campuran seni dan juga sains yang menjadikan pemanduan anda menyeronokkan.
Dengan kotak gear manual juga kita akan mempunyai kawalan sepenuhnya kepada kereta yang dipandiu bahkan dalam keadaan tertentu ianya lebih menjimatkan petrol. Anak-anak muda sekarang yang cuma tahu memandu kereta dengan gear automatik mungkin tidak memahami kehebatan gear manual.
Namun ada beberapa perkara ataupun tabiat yang perlu dielakkan sewaktu memandu kereta manual.
-
TOMBOL GEAR BUKAN TEMPAT MEREHATKAN TANGAN
Kita cuma boleh melihat tombol gear dan bukan apa yang ada di dalam kotak gear. Sewaktu menukar gear dengan menggerakkan tombol gear, terdapat beberapa komponen di bahagian dalam yang akan bergerak dan bersentuh antara satu sama lain contohnya komponen yang dinamakan selector fork.
Dalam keadaan statik ia tidak bersentuh dengan bahagian rotating collar yang membantu anda memilih gear yang anda mahu tetapi dengan meletakkan tangan di atas tombol gear, tidak mustahil kedua–dua komponen akan bersentuhan dan mengakibatkan kehausan kepada bahagian selector fork.
-
JANGAN GUNA KLAC UNTUK STABILKAN KEDUDUKAN ATAS BUKIT
Ini yang ramai lakukan. Ia tidak cool langsung kalau anda pam minyak, ekzos bising dan cuba “bertahan” pada kedudukan jalan mendaki bukit.
Ia akan menyebabkan kehausan pada lapisan klac. Terdapat banyak cara untuk mengelakkan kereta anda daripada tergelongsor ke belakang tanpa menggunakan klac.
Anda dinasihatkan menggunakan brek tangan. Amalan mengggunakan klac ini akan mengakibatkan kehausan pada mekanisma gear selain merosakkan ciri-ciri free-roll yang membantu menggerakkan kereta dengan lancar.
-
JANGAN JADIKAN PEDAL KLAC TEMPAT MEREHAT KAKI
Merehatkan kaki di atas pedal klac mungkin akan mengakibatkan klac tertekan sebahagian dan mengakibatkan gelinciran.
Ini bukan hanya akan menjejaskan tahap ekonomi bahan api akibat kehilangan tenaga transmisi malah komponen klac juga akan mengalami kehausan lebih awal daripada sepatutnya.
Klac berfungsi membantu anda menukar gear untuk mendapatkan gear yang sesuai dengan kelajuan. Ramai yang suka merehatkan kaki mereka di atas pedal klac sewaktu memandu untuk memudahkan mereka membuat tukaran gear bila perlu dan tidak perlu melakukan banyak pergerakan kaki.
Sebenarnya anda perlu letakkan kaki kiri pada perehat kaki (foor rest) di bahagian paling kiri lantai kereta.
-
JANGAN TEKAN PEDAL MINYAK DENGAN AGRESIF SEMASA RPM RENDAH
Biasanya pemandu akan menekan pedal minyak dengan kuat sewaktu ingin membuat pecutan dan bergerak laju. Bagaimanapun untuk memastikan itu berlaku, enjin kereta perlukan petrol yang lebih dan turutan gear yang sempurna.
Menekan pedal minyak sewaktu putaran enjin rendah tidak akan membantu dan tidak baik untuk kereta anda. Anda sepatutnya menurunkan gear kereta anda dan mula menaikkannya satu demi satu.
-
GUNAKAN GEAR YANG SESUAI UNTUK MENAMBAH KELAJUAN
Gear paling atas ataupun overdrive berfungsi untuk anda bergerak pada kelajuan tinggi dengan putaran enjin yang rendah sekaligus menjimatkan bahan api.
Walau bagaimanapun, anda perlu melakukan penukaran gear mengikut turutan jika ingin menambah kelajuan. Jangan menurunkan gear secara melulu sewaktu kenderaan sedang bergerak laju sehingga menyebabkan putaran enjin mencecah ataupun melebihi garisan merah.
Sama juga jika anda sedang memecut, jangan melebihi garisan merah pada bahagian odometer untuk mengelakkan tekanan pada enjin. (Ingat kereta anda bukannya kereta F1).
-
PASTIKAN GEAR KERETA NEUTRAL SEWAKTU LAMPU ISYARAT MERAH
Bagi bandar-bandar besar, jarak antara satu lampu isyarat ke satu lampu isyarat adalah kurang daripada 1 kilometer. Ini mengakibatkan ramai pemandu yang akan sentiasa bersedia dengan gear satu sewaktu menunggu lampu isyarat.
Ia sebenarnya akan menjejaskan kereta anda kerana gear telah dimasukkan tetapi kereta tidak bergerak. Klac anda juga akan haus lebih awal dari sepatutnya. Jika meletakkan gear dalam keadaan neutral sewaktu berhenti, ia akan mengurangkan tekanan kepada kereta.
-
JANGAN MENUKAR GEAR TANPA MENGGUNAKAN KLAC
Klac berfungsi untuk memutuskan enjin daripada kotak gear setiap kali anda menekan pedal. Cakera klac juga berfungsi menyalurkan kuasa daripada enjin ke bahagian kotak gear. Jadi setiap kali anda ingin menukar gear, anda mesti memutuskan hubungan antara enjin dan kotak gear supaya tukaran boleh dilakukan.
Jika anda menukar gear tanpa menggunakan klac, anda bukan hanya akan merosakkan sistem transmisi tetapi juga enjin kereta anda.
-
JANGAN MENEKAN BREK DAN KLAC SERENTAK
Jangan menekan terus klac sewaktu mula membrek kerana juga perlukan bantuan rintangan dari enjin (engine braking) untuk memperlahankan kereta anda dengan lebih cepat. Contohnya bila masuk ke selekoh dan anda perlukan gear rendah, jangan lah pulak tekan klac bila masuk apex dan cuma harapkan brek semata-mata.
Ingat, brek enjin menghasilkan traksi dan membantu kita mengawal kenderaan dengan lebih baik.
Sewaktu jalan lurus dan ingin membrek, jangan amalkan tekan brek dan klac serentak. tekan brek terlebih dahulu dan bila momentum berkurang barulah tekan pedal klac untuk dapatkan kedudukan gear yang sesuai.
-
TUKAR MINYAK GEAR IKUT JADUAL DAN SPESIFIKASI
Ramai yang fikir kotak gear manual tidak memerlukan penjagaan rapi. Setiap pengeluar telah menetapkan jadual penukaran cecair kotak gear seperti yang disarankan. Kotak gear adalah seperti sifat enjin, ia dipacu oleh komponen bergerak yang perlukan penyelenggaraan yang mana cecair ini akan memastikan setiap komponen yang bergerak dan bergeser sentiasa lancar.
Minyak gear yang terlalu lama akan menghasilkan mendakan dan kotoran yang akan menjejaskan bahagian berputar seperti synchromesh yang akan menyebabkan kerosakan serius.
Anda sedang merancang untuk ke Kota Kinabalu Sabah? Jimat masa anda dan tempah kereta sewa anda di
[dt_button link=”https://kkleisure.com/car-rental-sabah/” target_blank=”false” button_alignment=”default” animation=”fadeIn” size=”medium” style=”default” bg_color_style=”blue” bg_color=”#333333″ bg_hover_color_style=”custom” bg_hover_color=”#444444″ text_color_style=”custom” text_color=”#ffffff” text_hover_color_style=”custom” text_hover_color=”#dddddd” icon=”fa fa-chevron-circle-right” icon_align=”left”]KERETA SEWA SABAH[/dt_button]
Atau jika anda mempunyai sebarang soalan mengenai kereta sewa Kota Kinabalu dan pakej pelancongan ke Sabah, anda boleh hubungi kami di bawah: