Tidak dapat disangkal lagi bahawa industri pelancongan merupakan salah satu sumber pendapatan negara. Sektor pelancongan telah dinobatkan sebagai punca pendapatan kedua terbesar negara selepas Petroleum. Sektor pelancongan ini membawa impak yang besar dalam merencanakan pembangunan negara. Lebih-lebih lagi, Malaysia juga telah diberi jolokan sebagai syurga makanan apabila dikaitkan dengan kewujudan masyarakat majmuk yang terdapat di Malaysia. Sebenarnya, usaha-usaha untuk memajukan sektor pelancongan negara haruslah dilakukan oleh semua pihak.
Industri pelancongan sememangnya memberikan kepentingan yang positif kepada Negara dari segi ekonomi, sosial dan politik. Malah, industri pelancongan sememangnya membuka peluang pekerjaan yang lebih luas dalam sektor tersebut. Pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan, pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan. Perkembangan industri pelancongan yang menggalakkan di negara kita ini meningkatkan permintaan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman dalam industri ini pada peringkat pengurusan dan penyeliaan dan golongan pekerja mahir dan separa mahir. Selain itu, industri pelancongan memberikan peluang perniagaan berangkai kepada rakyat. Perkembangan industri ini menjadikan nadi kepada perkembangan pelbagai sektor lain seperti sektor pengangkutan, makanan dan minuman, bunga-bungaan, kraf tangan, pertanian dan penternakan. Hal ini mampu mengurangkan kadar pengganguran di negara kita. Pada masa sama , taraf hidup rakyat juga akan meningkat.
Tambahan pula, industri pelancongan dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita. Ia turut merupakan salah satu daripada kepentingan apabila pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan atau di pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga mendapat keuntungan daripada perniagaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan dari luar negara.
Di samping itu,industri pelancongan juga dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Ini adalah kerana pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan yang lain-lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal mahu pun makanan barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama ada menikmati makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan selera yang besar dan berhawa dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan. Mereka juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup panorama yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut.
Permintaan yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina “Bagai cendawan tumbuh selepas hujan” di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, industri pelancongan memberi keuntungan kepada Negara apabila pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tourism” yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Pelancong juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu lokasi pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan seperti bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan. Oeh itu,sektor pelancongan ini telah banyak menyumbang dari segi ekonomi terhadap negara kita.
Selain itu industri pelancongan mendatangkan kepentingan terhadap budaya tempatan lantaran membantu dalam memupuk persefahaman antara masyarakat sejagat. Melalui pelancongan, kita berpeluang berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelancong asing. Penduduk di negara kita dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelancong asing yang datang ke negara kita untuk mengetahui keadaan politik, sosial, dan ekonomi negara mereka. Mereka pula akan mengetahui budaya serta amalan yang unik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Contohnya, amalan “rumah terbuka” yang diamalkan oleh segelintir rakyat negara kita. Jadi, fitnah yang berkaitan dengan negara kita dapat dilenyapkan dan pelancong asing yang datang ke negara kita juga akan bertambah. Jelaslah bahawa sektor pelancongan dapat membantu dalam memupuk persefahaman antara masyarakat sejagat.